GALAH PANJANG
Galah panjang adalah sejenis
permainan tradisional yang dimainkan di atas gelanggang yang dilakar di atas
tanah kosong. Gelanggang yang dibuat mengandungi 2 lajur dan beberapa baris
bergantung kepada bilangan pemain. Gelanggang galah panjang dibuat mengikut
bilangan pemain yang bermain galah panjang. Contohnya jika pemain ada 10 orang,
gelanggang yang dibuat mengandungi 4 baris. Jika bilangan pemain sebanyak lapan
orang, gelanggang galah pnjang mengandungi 3 baris. Permainan ini melibatkan
kepakaran seorang ketua atau ibu untuk mengawal gerakan anak buah bagi pihak
yang mengawal gelanggang. Manakala kecekapan dan kepantasan teruji kepada pihak
yang menempuh gelanggang. Jika pihak menempuh gelanggang mempunyai
kebijaksanaan menempuh gelanggang, maka mereka boleh menang dengan mudah.
Cara bermain
i. Gelanggang galah panjang di lakar diatas tanah yang
lapang. Panjang dan lebar bergantung kepada pelukis garisan dan bilangan
pemain. Selalunya satu petak galah panjang berukuran lebih kurang 2 meter x 1.5
meter.
ii. Selepas pemilihan dilakukan, setiap kumpulan akan
melakukan pemilihan ketua. Ketua dari kedua-dua kumpulan akan mengundi siapa
yang menjaga gelanggan dan siapa yang menempuh gelanggang.
iii. Selepas penentuan, kumpulan yang menjaga gelanggang akan
menjaga gelanggang dengan berpijak diatas garisan yang dilukis tadi. Ketua akan
menjaga garisan tengah dan bebas pergi kemana-mana garisan depan atau belakang.
iv. Kumpulan menempuh gelanggang akan berkumpul di depan,
seterusnya ketua akan menyapakan tanganya dengan ketua pihak lawan. Seterusnya
merka belari masuk ke dalam gelanggang.
v. Penjaga akan mejaga kawasannya agar pihak penempuh tidak
melepasi garisan yang dijaganya.
vi. Penempuh akan menempuh sampai melepasi garisan paling
akhir tanpa disentuh oleh penjaga gelanggang dan kemudiannya berpatah balik.
vii. Kemenangan tercapai apabila orang yang telah melepasi
garisan paling akhir melepasi garisan permulaan. Dan permainan diteruskan
sehingga ada pemain yang ingin berhenti.
Syarat permainan
1. Jika penjaga gelanggang dapat menyentuh anak buah, maka
anak buah akan mati atau tamat gilirannya bermain dan dikehendaki keluar
gelanggang.
2. Jika penjaga gelanggang menyentuh ketua, maka seluruh
ahli penempuh akan tamat giliran dan akan bertukar giliran antara penjaga dan
penempuh.
GULI
Guli adalah sejenis bebola kecil
yang biasanya diperbuat dari kaca, tanah liat atau akik. Ia biasanya dimainkan
oleh kanak-kanak. Guli juga boleh digunakan dalam sesetengah permainan lain,
contohnya congkak. Ramai juga yang mengumpul guli, sama ada untuk nostalgia
atau warna estetiknya.
Permainan
Permainan guli biasanya
melibatkan lontaran guli dengan tepat mengenai sasarannya. Ia biasanya
dimainkan oleh kanak-kanak lelaki berumur antara tujuh dan dua belas tahun.
Jumlah pemain tidak melebihi lima orang.
Kawasan tanah rata dan lapang
adalah gelanggang yang sesuai untuk tempat bermain guli. Biji guli yang
digunakan untuk permainan ini adalah jenis guli yang diperbuat daripada batu
kapur, berwarna putih dan sebesar ibu jari kaki.
Gelanggang
Satu bulatan dilukiskan di atas
tanah berukuran garis pusat 1 m. Di tengah-tengah bulatan tersebut dilekukkan
sebuah lubang sebesar 10 cm lebar dan sedalam 7 cm dengan menggunakan tumit
kaki yang dihentakkan ke tanah. Lubang tersebut dinamakan lubang induk. Satu
garisan lurus dibina dengan jarak 3 m daripada garisan besar tersebut. Garisan
ini adalah sebagai penanda mula tempat permainan.
Cara bermain
i. Untuk memulakan permainan setiap pemain hendaklah
meleretkan biji guli masuk ke dalam lubang induk. Guli yang masuk ke dalam
lubang induk atau yang terhampir adalah dikira sebagai pemain yang pertama
memulakan permainan dan diikuti oleh guli-guli kedua hampir dan seterusnya.
ii. Pemain pertama akan menjentik gulinya kepada semua guli
yang berada di dalam kawasan bulatan agar terkeluar. Sekiranya jentikan tidak
mengena ia dikira mati dan pemain kedua akan membuat jentikan kepada guli-guli
yang ada, begitulah seterusnya sehingga semua pemain selesai membuat jentikan
ke atas guli pemain lainnya.
iii. Pemain boleh melepaskan gilirannya tetapi dengan syarat,
ia mestilah memasukkan guli miliknya ke dalam lubang induk terlebih dahulu.
Pemain akan memastikan guli miliknya sentiasa berada berhampiran dengan lubang
induk setiap kali jentikan dilakukan. Ini memudahkan mereka mengawal permainan.
iv. Setiap pertukaran giliran kepada pemain berikutnya, pemain
yang mengambil alih giliran dikehendaki memasukkan guli miliknya ke dalam
lubang induk terlebih dahulu sebelum boleh menjetik guli lawan. Sekiranya guli
tidak masuk ke dalam lubang induk, giliran untuk pemain lain diberikan.
v. Kiraan mata berdasarkan banyaknya jumlah jentikan dibuat
terhadap guli lawan sehingga semua pemain selesai giliran.
vi. Dua cara dendaan akan dikenakan terhadap pemain yang
memungut jumlah mata terendah. Pemain yang kalah akan memasukkan guli miliknya
kedalam lubang induk dan semua pemain akan memangkah guli tersebut. Cara kedua
adalah dengan setiap pemain menjentik sekali seorang ke atas guli yang kalah
itu jauh dari kawasan bulatan.
GASING
Gasing popular di Semenanjung
terutama di Kelantan. Orang dewasa yang memajukan seni permainan ini, bagi
kanak-kanak lebih gemar dengan gasing Melayu dan Cina, kerana saiz yang kecil
dan mudah dipermainkan.
Jenis-jenis Gasing
Jenis gasing yang terdapat di
Malaysia termasuk gasing jantung, gasing piring atau leper, gasing kelamar,
gasing telur, gasing berembang, gasing Melayu, gasing Cina, gasing buku benang
dan gasing pinang. Membuat Gasing Kayu yang paling sesuai dari spesis merbau,
seperti merbau tanduk, merbau darah, merbau johol dan merbau keradah, ianya
mudah dilarik tetapi tidak mudah serpih. Selain itu kayu leban tanduk, limau,
bakau, koran, sepan, penaga, keranji juga menjadi pilihan.
Jenis kayu yang mudah didapati
seperti manggis, jambu batu, ciku atau asam jawa sering digunakan untuk membuat
gasing. Kayu tersebut dilarik menggunakan alat pelarik, mengikut saiz dan
bentuk gasing yang telah ditetapkan. Sebelum kerja melarik dimulakan besi paksi
dibenamkan ke dalam kayu tersebut agar keseimbangan dari segi bulatnya dapat
dilakukan ketika melarik. Setelah gasing disiapkan maka kerja-kerja terakhir
dilakukan, seperti melilitkan timah pada kepak gasing tadi agar menambah berat
lagi gasing itu hingga seberat lima kilogram dan juga tak mudah serpih. Untuk
menambah indah rupa parasnya maka tanduk kerbau dipasangkan dibahagian kepala
gasing serta dikilatkan dengan varnis. Ini terdapat pada gasing leper atau
untuk gasing uri sahaja.
Cara Bermain
Gasing dimainkan dengan dua cara,
iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing uri. Gasing pangkah, dimainkan dengan
melemparkannya supaya mengetuk gasing lawan. Gasing uri dipertandingkan untuk
menguji ketahanannya berpusing. Gasing pinang dimainkan oleh kanak-kanak. Buah
pinang muda dikupaskan sabut dan kulitnya, dipangkaskan bahagian atas dan
bahagian bawahnya, kemudian dicucukkan lidi buluh melalui pulurnya menjadi
paksi serta pemegang gasing itu. Gasing ini boleh dilagakan atau diurikan.
Untuk memusingkan gasing, tali setebal 1.75 cm dan sepanjang 3 hingga 5 meter
dililitkan pada jambulnya hingga meliputi seluruh permukaan gasing. Kemudian
gasing itu dilemparkan ke atas tanah dan serentak dengan itu tali yang melilit
jambuhnya direnggut.
Pertandingan Gasing
Pertandingan
gasing uri berbeza dengan gasing pangkah. Gasing uri lebih bersifat individual,
manakala gasing pangkah bersifat kumpulan. Gasing jenis ini pula dimainkan
secara berkumpulan. Setiap pasukan terdiri daripada dua hingga lima orang.
Untuk menentukan pasukan menanti dan pasukan memangkah, peraduan uri diadakan,
antara gasing-gasing yang mewakili pasukan-pasukan yang mengambil bahagian.
Pasukan yang gasingnya paling lama berpusing menjadi pasukan memangkah pertama.
Permainan dimulakan dengan pasukan menanti melemparkan gasing mereka ke
tengah-tengah bong. Kemudian pasukan memangkah pula memangkah gasing mereka.
Tiap-tiap gasing pasukan
memangkah mesti mengetuk salah satu gasing pasukan menanti. Tujuannya ialah sama
ada memecahkan gasing lawan ataupun sekurang-kurangnya menjejaskan keseimbangan
pergerakannya supaya cepat berhenti berpusing. Dalam perlawanan gasing ini,
setiap pasukan mempunyai jong cokok. Selesai pemangkahan, gasing-gasing di
dalam bong itu dicokokkan dan dipindahkan ke atas lopok, seperti dalam
pentandingan gasing uri. Jika salah satu gasing pihak menanti berpusing lebih
lama, pihak itu tidak diberi markah tetapi ditukarkan menjadi pemangkah.
Pasukan yang memangkah tadi kini menjadi pasukan menanti pula.
Permainan wau
Wau
tradisional mempunyai keunikannya yang tersendiri. Warisan tradisional ini
haruslah dikekalkan kerana ia adalah identiti budaya bangsa Melayu dan juga
sebuah negara. Berbagai jenis dan bentuk wau telah dicipta.Wau burung, wau
pari, wau katak, wau bayan,wau merak, wau kucing, wau jala budi, waulenggang
kebayan, wau sewah, wau barat dan yang sangat digemari oleh orang Melayu ialah
wau bulan. Reka corak bermotifkan awan larat pada kebiasaannya adalah menghiasi
kebanyakan wau yang dihasilkan dengan berwarna-warni.
Cara-cara bermain wau.
Pada
kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang
tali wau yang digelar juru anjung dan seorang lagi akan membawa wau kira-kira
15 hingga 25 meter dari juru anjung dan digelar juru main tali.
Apabila
angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur
dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Bagi wau jenis
terbang, kepuasan boleh dirasai apabila wau tersebut mampu melakukan
penerbangan setinggi mungkin. Sebelum diterbangkan adalah perlu dipastikan wau
tersebut diimbangkan dengan baik dan tidak berat sebelah. Ini adalah untuk
menentukan sama ada wau dapat terbang dengan baik atau tidak. Sekiranya tidak
seimbang, wau tidak dinaikkan dengan baik. Setelah keseimbangan dipastikan
tugas selanjutnya ialah menaikkan wau supaya mampu tebang ke udara.
Sebaik
sahaja terdapat angin yang sesuai, wau akan dilepaskan dan juru anjung akan
menariknya sambil berlari anak. Ketika itu wau akan naik kemucak kira-kira 20
meter ke udara. Juru anjung akan terus menghulurkan tali supaya wau dapat
dinaikkan lebih tinggi. Lazimnya wau boleh naik sehingga 500 hingga 600 meter
ke udara. Setelah melihat wau naik dengan baik, juru anjung akan menambat tali
wau pada pangkal pokok dan terus memegang. Juru anjung akan meninggalkan tempat
tersebut dan menikmati alunan bunyi busur yang dibawa oleh angin. Oleh kerana
angin adalah faktor penentu wau sama ada
wau boleh dinaikkan atau tidak, bermakna wau selalu dimainkan pada musim
berangin.
KONDA KONDI
Konda-kondi juga dikenali sebagai
Perik Mata memerlukan fikiran yang tajam dan kekuatan pemain, iaitu ketika
memikir arah yang selamat untuk menguis kayu dan mengejar kayu yang dikuis
untuk mematikan pihak lawan. Permainan ini memerlukan kawasan lapang. Peralatan
yang diperlukan adalah terdiri daripada dua batang kayu kecil berukuran, l5cm
dan 30cm panjang. Kedua-dua batang kayu ini berbentuk bulat dan berukuran 2cm
garis pusat. Kayu yang pendek dipanggil anak dan yang panjang dipanggil ibu.
Lubang sedalam 15cm juga dikorek bagi meletakkan kayu panjang. Undian secara
'wan tu som' dijalankan bagi membentuk pasukan dan menetapkan pasukan mana yang
harus memainkan terlebih dahulu.
Langkah 1
Pemain
pertama memulakan permainan dengan meletakkan kayu pendek melintang lubang,
kayu panjang digunakan untuk menguis kayu pendek itu supaya melambung ke udara,
setelah itu kayu panjang diletakkan semula melintang lubang sementara itu, ahli
pasukan lawan hendaklah cuba menyambut kayu pendek yang dikuis oleh pemain itu
sebelum jatuh ke tanah. Jika pasukan lawan berjaya berbuat demikian, semua
pemain daripada kumpulan yang sedang bermain itu dikira mati. Permainan akan
diambil alih pula oleh pasukan lawan, tetapi jika pasukan lawan gagal menyambutnya,
mana-mana ahli hendaklah membalingkan kayu pendek masuk ke dalam lubang ataupun
mengena kayu panjang. Jika kayu itu masuk ke dalam lubang atau pun terkena kayu
panjang yang diletakkan melintang tadi, cuma pemain itu sahaja yang dikira
mati. Sebaliknya, jika kayu yang dibaling oleh pemain lawan itu tidak mengenai
lubang atau kayu panjang itu, pemain tersebut boleh mendapatkan mata dengan
mengira jarak kayu itu jatuh dari lubang. Satu jarak kayu panjang dikira satu
mata.
Langkah 2
Pemain
tadi akan mengambil kayu pendek dan melambungkan ke udara, kemudian memukulnya
kuat dengan kayu panjang. Dia diberi peluang sebanyak tiga kali jika pukulan
pertama atau keduanya tidak kuat. Sekali bagi pemain lawan cuba menyambut jika
tidak berjaya. Pemain tadi boleh mendapat mata, dengan kiraan yang sama. Mata
yang diperoleh dicampur dengan mata daripada langkah pertama tadi.
Langkah 3
Seterusnya,
pemain beralih kepada langkah ketiga yang dipanggil patuk ular. Pemain
menyandarkan kayu pendek di tepi lubang, kemudian mengetuk hujung kayu pendek
itu dengan kayu panjang. Jika pukulan dibuat dengan baik, kayu pendek akan
melentik ke udara. Pemain itu hendaklah bersedia untuk memukul kayu pendek itu
sebelum jatuh ke tanah, dengan menggunakan kayu panjang. Tempat kayu pendek itu
jatuh dikira mata, iaitu mengiranya dengan menggunakan kayu panjang, kiraan
mata tetap sama seperti sebelumnya. Pasukan yang mempunyai mata tertinggi
memenangi perlawanan ini.
BATU SEREMBAN
Batu
Seremban juga dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat. Sering
dimainkan di waktu lapang.Permainan ini dimainkan oleh kanak-kanak perempuan
sama ada secara individu atau berpasangan. Ianya dimainkan secara berkumpulan
seramai dua hingga empat orang atau lebih.Biasanya ia menggunakan guli kaca,
biji getah, ketul batu yang kecil atau ketulan-ketulan objek lai berbentuk
bulat. Bilangan yang biasa digunakan sebanyak lima biji. Objek-objek ini
dikenali sebagai buah Dalam bermain Batu Seremban ini terdapat beberapa
peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Bermula dengan peringkat
pertama yang mudah dengan menggunakan sebiji buah yang dinamakan sebagai buah
satu hinggalah kepadaperingkat lebih tinggi atau peringkat yang teratas
dinamakan buah tujuh.
No comments:
Post a Comment